KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) — Akta Hak Cipta 1987 akan dikaji semula bagi melindungi karyawan muzik dan artis tanah air daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata karyawan muzik sering menjadi mangsa ekoran kewujudan laman web yang menawarkan aktiviti muat turun secara percuma dan pindaan terhadap rang undang-undang itu perlu disegerakan bagi membendungnya daripada terus berleluasa.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji dan meminda hak cipta bagi melindungi para karyawan muzik dan harta intelek daripada segala bentuk penipuan dan eksploitasi.

“Hukuman keras patut dikenakan ke atas laman web yang menggunakan muzik tanpa lesen daripada pemilik hak ciptanya,” kata Salang ketika ditemubual dalam program Bual Bicara Eksklusif di Radio Malaysia Klasik Nasional yang bersiaran pada frekuensi 98.3fm Isnin.

Salang ditemubual selama setengah jam oleh Pengurus Radio Malaysia Klasik Nasional Chuari Selamat dan Penerbit Rancangan Radio Klasik Nasional Khalim Rohani.

Dalam temubual itu, Salang turut memberitahu bahawa kerajaan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia untuk menyediakan kertas cadangan mengenai penyediaan perkhidmatan internet pada kadar yang rendah.

“Rakyat mengharapkan kos internet pada kadar yang rendah ketika kemajuan telekomunikasi dan internet di Malaysia semakin pesat

“Kerajaan menyedari kos internet di Malaysia masih tinggi, oleh itu kerajaan meminta SKMM dan Telekom Malaysia menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan di Parlimen Februari depan,” katanya.

Mengenai penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia, Salang dalam sidang media selepas itu berkata rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak telah mula menghayati dan memahami konsep tersebut menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Di Sarawak (contohnya) dalam satu keluarga memang pelbagai agama pun ada, tidak hairan saya katakan dalam keluarga-keluarga tertentu ada yang beragama Buddha, Hindu, Islam atau Kristian, ini (isu agama) memang tidak disentuh kerana ia adalah kehendak dan kemahuan seseorang.

“Kelainan antara kita maka lebih rapat perhubungan kita antara satu sama lain, kalau kita tidak mengambil kelainan ini sebagai satu isu, kita boleh menerima kepelbagaian itu, ia adalah menjadi aset utama negara kita dan untuk menceriakan lagi suasana (perpaduan) di negara ini,” kata Salang yang juga anggota Parlimen Julau di Sarawak.

– BERNAMA

Filed under Harta Intelek
0

Apa Itu Harta Intelek? (Pengenalan Kepada Harta Intelek 2)

Salam dan selamat sejahtera. Untuk tambahan kepada artikel saya yang lepas berkenaan pengenalan kepada harta intelek, saya akan memberikan pengenalan apakah itu harta intelek sebagaimana pengenalan yang diberikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia menerusi laman webnya http://www.myipo.gov.my.

Harta intelek merujuk kepada ciptaan yang diperoleh dari akal fikiran termasuk hasil kerja sastera dan seni, simbol, nama, imej dalam pelbagai bentuk sama ada gambar atau lukisan dan reka bentuk yang digunakan di dalam perdagangan atau perniagaan.

Harta intelek terbahagi kepada dua kategori iaitu Harta Industri dan Hak Cipta. Harta Industri merangkumi Cap Dagangan, Paten, Reka Bentuk Perindustrian dan Petunjuk Geogragi. Hak Cipta pula merangkumi hasil kerja sastera dan seni seperti novel, puisi, persembahan, filem, hasil karya muzik, lukisan, gambar, ukiran dan reka bentuk bangunan. Hak-hak berkaitan Hak Cipta juga melibatkan persembahan artis, penerbitan rakaman bunyi dan juga program-program dalam penyiaran radio dan televisyen.

Satu lagi cabang harta intelek yang tidak dinyatakan sebelum ini ialah Variati Tumbuhan (Plant Variety). Variati Tumbuhan merujuk kepada hak eksklusif yang diberikan kepada pengusaha atau pembiak baka tumbuhan untuk mengeksploitasi kepelbagaian baka baru bagi tumbuhan. Walaubagaimanapun, urusan pentadbiran dan pendaftaran Variati tumbuhan tidak dijalankan oleh MyIPO, sebaliknya dijalankan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Sekian untuk kali ini..

Filed under Harta Intelek
0

Pengenalan Kepada Harta Intelek

intellectual-property

Salam dan selamat sejahtera. Untuk pos kali ini, saya akan menerangkan secara umum mengenai harta intelek.  Secara umumnya, harta intelek bolehlah didefinasikan sebagai satu bentuk monopoli yang diiktiraf undang-undang ke atas hasil kerja atau ciptaan yang dicetuskan menerusi pemikiran.

Harta intelek terbahagi kepada 6 cabang utama iaitu Cap Dagangan (Trademark), Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design), Paten, Hak Cipta (Copyright), Petunjuk Geografi (Geographical Indication) dan Reka Bentuk Litar Bersepadu (Integrated Circuit Design). Undang-undang berkaitan harta intelek di Malaysia ditadbir oleh 6 akta yang berasingan iaitu Akta Cap Dagangan 1976, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Reka Bentuk Litar Bersepadu 2000.

Badan yang bertanggungjawab menyelia pentadbiran harta intelek di Malaysia ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. MyIPO bertangungjawab dalam menjalankan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil bagi Cap Dagangan, Reka Bentuk Industri, Paten, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk Litar Bersepadu. Harta Intelek di bawah cabang Hak Cipta tidak memerlukan sebarang pendaftaran kerana perlindungan hasil karya di bawah Hak Cipta adalah diiktiraf secara automatik oleh undang-undang.

Untuk pos yang akan datang, saya akan menerangkan dengan lebih terperinci bagi setiap cabang harta intelek.

Wassalam..

Filed under Harta Intelek
0

Salam Permulaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung laman blog sulung saya ini. Ketika pos pertama untuk blog ini diterbitkan, laman ini masih lagi kosong dan masih banyak yang perlu diperbaiki. Perancangan untuk membina blog ini telah lama dirancang sejak tahun 2008 lagi tetapi disebabkan kekangan masa dan komitmen-komitmen lain, maka perancangan tersebut telah tergendala. Bermula 1 september 2009, saya akan memulakan ‘karier’ terbaru saya sebagai penulis blog dan akan sedaya berusaha untuk sentiasa mengemaskini kandungan blog ini.

Blog ini akan memaparkan perkongsian idea dalam pelbagai isu terutama yang berkaitan dengan dunia IT, isu-isu berkaitan harta intelek, dunia perniagaan dan perkembangan teknologi dan inovasi di dalam dan luar negara. Topik-topik tersebut dipilih berdasarkan kecenderungan dan minat saya dan tidak terkecuali lain-lain topik yang dirasakan sesuai untuk blog ini.

Akhir sekali, saya menyeru pembaca untuk berkongsi pandangan dan idea untuk memperbaiki isi kandungan blog ini.

Sekian untuk kali ini. Berjumpa kita pada pos yang akan datang.

Filed under Umum